Haiwan ternakan paling banyak terkorban akibat banjir. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) digesa memasukkan haiwan domestik dan ternakan ke dalam rancangan kecemasan bencana alam di negara ini.

Ia susulan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri menunjukkan haiwan ternakan antara yang banyak terkorban.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, negara mesti mempunyai strategi dan dasar meningkatkan pengetahuan dalam responsif ternakan.

Jelas beliau, kerjasama dengan pertubuhan kebajikan haiwan antarabangsa juga boleh dijalinkan bagi memastikan keselamatan haiwan peliharaan serta ternakan dalam isu pengurangan risiko bencana (DRR).

“Haiwan menderita semasa bencana kerana ia sangat bergantung kepada manusia, justeru kami menggesa supaya haiwan domestik dan ternakan turut dimasukkan ke dalam rancangan kecemasan.

“Kerajaan perlu ambil langkah bagi mengurangkan kerugian dalam ternakan dan kesiapsiagaan kecemasan juga penting untuk kebajikan haiwan serta kesinambungan perniagaan.

“Malah, perancangan awal lebih baik bagi membantu dan melindungi haiwan ini sebelum dan semasa bencana. katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mohideen, penternak yang bergantung sara hidup dengan hasil ternakan akan terjejas teruk apabila ditimpa bencana kerana haiwan itu paling kurang diutamakan dalam pengurusan bencana.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, sebanyak RM36.9 juta kerugian kepada sektor ternakan dicatatkan pada 2022 yang menyebabkan kerugian ekonomi serta nyawa dan penderitaan ternakan apabila berlakunya bencana.

“Memandangkan besarnya kerugian dan kepentingannya, Kementerian Pertanian dan JPV yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesihatan haiwan ternakan di seluruh negara perlu memainkan peranan proaktif dalam pengurusan risiko haiwan semasa bencana.

“Masalah lain ialah keperluan bagi mengeluarkan haiwan yang cedera untuk dirawat manakala haiwan yang mati di kawasan banjir teruk boleh mendedahkan ancaman kepada kesihatan awam jika ia tidak dibuang segera.

“Jadi mereka (kementerian dan JPV) yang mempunyai pengetahuan, peralatan dan kemudahan perlu segera mewujudkan pusat rawatan dan penyelamatan haiwan di kawasan yang terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette