PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan penggunaan RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti oleh kerajaan terdahulu.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, sehingga kini tiada pemakluman kementeriannya terlibat untuk siasatan.
“Setakat ini tiada pemakluman berkenaan isu itu. Tapi bagi badan penyiasatan, kalau merasakan ada keperluan itu hak nereka menjalankan siasatan termasuk kementerian ini,” katanya ketika sidang media.
Semalam SPRM mengesahkan pihaknya sedang menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dua Perdana Menteri sebelum ini.
Dilaporkan, agensi siasatan tersebut sudah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai sebahagian proses siasatan.
Fahmi dalam masa yang sama enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan memberi peluang SPRM untuk melakukan siasatan secara bebas.
“Kita beri ruang kepada badan penyiasatan untuk badan penyiasatan lakukan kerja tidak boleh beri komen,” katanya lagi.-MalaysiaGazette