BATU PAHAT- Jabatan Perhutanan Negeri Johor telah menganjurkan Program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertemakan Program “Kelestarian Alam, Tanggungjawab Bersama” sempena menyambut Tahun Baru 2024 di Pantai Teluk Wawasan, Mukim Bagan.
Sebanyak 600 anak pokok spesis Bakau Kurap ditanam di pantai Teluk Wawasan, dekat Batu Pahat pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Datuk Salim Aman berkata, program yang disertai 150 peserta itu bagi membantu memulihkan semula dirian bakau dan dataran pantai berlumpur di pantai berkenaan.
“Program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya mengekalkan kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem pantai terutamanya di sepanjang persisiran pantai negeri Johor.
“Program pada tahun ini juga mensasarkan penanaman sebanyak 600 anak pokok daripada spesies Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) diharap dapat membantu memulihkan semula dirian bakau dan dataran Pantai berlumpur di Teluk Wawasan,” katanya menerusi perkongsian di laman facebook, hari ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.
Program itu, jelasnya, antara lain bagi memelihara kawasan hutan dan sumber biologinya untuk manfaat dan kesinambungan sumber daya kepada generasi akan datang.
“Selain itu, program diadakan untuk meningkatkan kesedaran peri penting mengekalkan kawasan litupan hijau dan hutan serta menambah baik ekosistem pantai terutama sepanjang pesisiran pantai di negeri ini.
“Jabatan Perhutanan Negeri Johor mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen semua agensi, penduduk kampung dan yang bersama-sama menyokong dan menjayakan program ini dalam menyokong usaha kerajaan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette