Chan Quin Er

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan diminta mengambil langkah yang lebih proaktif dan agresif untuk memulihkan serta membangunkan ekonomi secara mampan, menerusi dasar-dasar yang praktikal dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Bukannya dengan cara memperkenalkan cukai-cukai baharu yang membebankan rakyat secara langsung seperti cukai barangan bernilai rendah (LVG) atau dengan mengenakan cukai ke atas perkhidmatan penting seperti perubatan tradisi dan komplementari (PT&K).

Ketua Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, parti itu akan terus menerus berusaha memujuk kerajaan supaya mengkaji semula pelaksanaan sistem percukaian dalam negara.

Jelasnya, keputusan menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8.0 peratus pastinya membebankan rakyat.

Sebaliknya, melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah langkah yang tepat dalam sistem percukaian, kerana sistem itu telahpun dibuktikan lebih telus, efektif dalam mengurangkan ketirisan serta menambah pendapatan negara.

Bukannya membebankan rakyat dengan mengenakan cukai-cukai baharu sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan digesa mengambil langkah untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia, dan secara langsung juga dapat memanfaatkan rakyat secara terus dengan mewujudkan peluang pekerjaan.

Quin Er berkata, tidak dinafikan kerajaan menerusi pelbagai kementerian berjaya menarik pelabur asing melabur di Malaysia.

Namun, apa guna angka puluhan atau ratusan bilion disebut sebagai pelaburan langsung asing (FDI) tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat secara terus, terutamanya dalam jangka masa pendek dan sederhana

Maka, kesemua yang dirancang kerajaan untuk tahun 2024 ini perlu diterangkan kepada rakyat dengan bahasa mudah serta disiarkan secara berterusan baik menerusi media utama, mahupun media sosial.

Jika tidak, rakyat pasti tidak mengetahui hala tuju kerajaan terutamanya dalam mendepani tahun baharu 2024 yang serba mencabar.

Dengan siaran berita positif seperti ini, sudah pasti ia akan meyakinkan rakyat bahawa kerajaan hari ini cekap dalam soal pengurusan serta pentadbiran negara, ujarnya. – MalaysiaGazette