Mohd Hairi bersama Onn Hafiz ( Tengah ) ketika hadir di Majlis Perasmian Outlet  Lazy Monday di Tebing@Bandar Dato Onn, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Sistem Pusat Data Usahawan Johor (PADU)yang wujud sejak 1 Januari tahun lalu mempunyai fungsi berbeza dengan Pusat Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan semalam.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, data PADU Johor adalah khusus untuk data usahawan yang diletak bawah Perbadanan Usahawan Johor (PUJB).

“Di situ kesemua makkumat usahawan yang didaftarkan merupakan inisiatif bagi menyalurkan bantuan dan keperluan kepada usahawan terbabit.

“Sekarang mungkin ada sesetengah kita yang keliru antara sistem PADU di peringkat nasional dan negeri Johor kerana namanya yang sama. Di peringkat negeri PADU lebih kepada usahawan untuk dapat maklumat berkaitan bantuan usahawan seperti geran, bantuan dan keperluan usahawan Johor.

“Sistem tidak sama dan berlainan, sistem PADU Johor diuruskan oleh PUJB manakala sistem PADU kerajaan Pusat untuk membantu ekonomi rakyat. Sistem berbeza, cukup berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Outlet  Lazy Monday di Tebing@Bandar Dato’ Onn, hari inii.

Jelas Mohd Hairi, setakat ini seramai 40,000 usahawan berdaftar di bawah PADU Johor dengan RM129 juta peruntukan telah disalurkan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU yang mana ia merupakan sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia bagi mengurangkan ketirisan dan kebocoran dalam menyalurkan subsidi kepada kumpulan sasar. – MalaysiaGazette