Bezza
Kereta Perodua Bezza milik Nagakanni didapati rosak tidak sampai tujuh jam selepas dibeli. - Gambar: Media sosial

KUALA LUMPUR – Perodua Sales Sdn Bhd telah menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta Perodua Bezza milik seorang kerani wanita yang rosak.

Ketua Pegawai Operasinya, JH Rozman Jaafar berkata, ia merupakan antara langkah yang diambil bagi menyelesaikan isu tersebut.

Menurut beliau, Perodua juga telah menawarkan kereta sementara selain memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kesnya.

“Kami juga ingin menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu ini.

“Siasatan menyeluruh berhubung isu ini sedang dijalankan dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial mengenai aduan seorang kerani, S Nagakanni, 31, berhubung kerosakan yang melibatkan kereta yang baru dibelinya itu daripada sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat pada pukul 11 pagi, 17 Oktober lalu.

Dia mendakwa, kenderaan itu tidak dapat dihidupkan pada pukul 7.40 malam hari yang sama dan ia seterusnya dibawa ke sebuah pusat servis di Segamat.

Nagakanni berkata, pada 9 November, individu dikenali sebagai Suffian dari ibu pejabat Perodua ketika menghubunginya memaklumkan, siasatan awal mendapati enjin kereta itu rosak disebabkan ada benda asing seperti gula dan menyatakan bahan itu tidak digunakan oleh pengeluar kereta tersebut.

Tambahnya, Suffian sekali lagi menghubunginya pada 15 November lalu dan menyarankannya membuat pinjaman untuk mendapatkan kenderaan yang baharu namun dia enggan berbuat demikian.

Rosman memberitahu, Perodua telah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober lalu.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan,” jelasnya. – MalaysiaGazette