MELAKA – Sebahagian hampir 500 nelayan di lapan pangkalan mendakwa kerugian hampir RM10,000 seorang ekoran pukat hanyut digunakan rosak terkena sisa buangan oleh pekerja kontraktor pembersihan.
Keadaan itu juga menyebabkan mereka tidak dapat ke laut dan hilang punca pendapatan lebih RM1,000 sejak masalah berkenaan melanda sepanjang 2.5 kilometer pantai pelancongan itu sejak minggu lalu.
Nelayan, Mohd Muszairi Mohamed, 37, berkata, masalah itu sudah berulang kali berlaku sebelum ini namun paling ketara sejak minggu lalu apabila pukat hanyut digunakan bernilai hampir RM10,000 rosak.
“Rosak sebab bila angkat je bukan penuh ikan, tapi sampah sarap seperti sisa rumput yang dipotong dan dibuang ke dalam longkang menyebabkan ia hanyut merosakkan jaring-jaring kami.
“Tak cukup dengan itu, ada juga kayu-kayu yang menyebabkan jaring koyak rabak dan ini mungkin berpunca daripada sikap kontraktor yang buat kerja sambil lewa tanpa memikirkan kesannya pada masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi nelayan, Mohd Safar Mohamed, 54, berkata, dia kerugian RM6,000 apabila pukat digunakan terpaksa dibuang kerana rosak dipenuhi rumput yang dibuang ke perairan pantai pelancongan itu.
“Sudahlah rugi pukat rosak, terputus pula pendapatan lebih RM1,000 seminggu kerana tidak dapat ke laut,” katanya.
Ketua Nelayan Pangkalan Pantai Puteri, Rosli Ahmad, 54, berkata, kira-kira 470 nelayan di lapan pangkalan nelayan bermula dari Klebang hingga Pantai Kundor terjejas akibat masalah itu.
“Memang sekarang ini ia menjadi masalah besar buat nelayan kerana laut dipenuhi sampah.
“Kita harap pihak berwajib dapat memantau kerja-kerja kontraktor ini supaya mengikut prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.
Permasalahan itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi yang mahu agensi berkaitan mengawasi tugas kontraktor dilantik.
“Mereka perlu pastikan pekerja-pekerja pembersihan ini lakukan skop kerja seperti yang telah ditetapkan dan bukannya pakai blower.
“Bila pakai blower itu yang jadi punca sisa sampah rumput masuk ke dalam longkang mengakibatkan sistem saliran tersumbat mendorong kejadian banjir kilat,” katanya. – MalaysiaGazette.