KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur dengan perkembangan terkini banjir di Pantai Timur yang semakin terkawal dan merekodkan penurunan.
Beliau turut bangga melihat Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang terus turun padang untuk sama-sama menghulurkan bantuan dan bergotong-royong membersihkan kediaman penduduk terjejas teruk akibat banjir di kawasan tersebut.
“Inilah semangat dan komitmen yang sering ditonjolkan di dalam UMNO dengan memberi khidmat tanpa henti kepada rakyat tanpa melihat kepada perbezaan ideologi atau fahaman politik.
“Terima kasih. Semoga Allah SWT memberkati usaha anda semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan Puteri UMNO membantu membersihkan lokasi terjejas banjir.
Ahli-ahli Puteri UMNO kelihatan menyedok lumpur serta membersihkan kawasan dalam bangunan yang dipenuhi selut ekoran banjir baru-baru ini. – MalaysiaGazette