Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Senator Tan Sri Low Kian Chuan menjangkakan negara boleh mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.5 peratus pada 2024.

Beliau berkata, eksport Malaysia dapat dipulihkan secara berperingkat dan permintaan domestik juga boleh meningkat secara berterusan untuk mendukung pertumbuhan negara.

“Yang diharapkan adalah kerajaan dapat menumpu perhatian untuk membangunkan ekonomi dan melakukan pembaharuan dasar mengikut keutamaan.

“Perniagaan harapkan kos operasi dapat diturunkan dan persekitaran pelaburan yang sihat ditambah baik. Harapannya adalah dapat meningkatkan kualiti hidup, menyegerakan pendigitalan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Menurut beliau, penyusutan eksport pada 2023 telah membebankan perkembangan sektor pembuatan, tetapi keadaan itu dijangka akan bertambah baik secara berperingkat pada tahun ini.

Jelasnya, industri semikonduktor yang kurang memberangsangkan dipercayai telah melalui peringkat paling sukar dan keadaan  mereka dijangka positif selepas ini.

“Disebabkan perdagangan, pengangkutan, telekomunikasi dan pelancongan turut menunjukkan tanda-tanda positif, maka sektor perkhidmatan juga akan menunjukkan prestasi lebih baik.

“Dasar pengecualian visa untuk China, India dan beberapa negara Timur Tengah akan menyuntik momentum ke dalam sektor pelancongan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Kian Chuan menjangkakan ekonomi dunia akan bertumbuh tetapi secara kurang bermaya pada 2024.

“Faktor negatif global termasuk kadar faedah yang tinggi dan konflik geopolitik yang berlaku,” katanya.

Mengenai kadar inflasi Malaysia pula, Kian Chuan berkata, ACCCIM menjangkakan rasionalisasi subsidi akan memberi kesan kepada inflasi dan kadarnya akan berlegar antara 2.8 hingga 3.5 peratus.

“Kadar inflasi bagaimanapun dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kadar pertukaran mata wang, permintaan dan penawaran pasaran, penetapan harga global, geopolitik dan iklim,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast