Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka dua kertas siasatan terhadap dua individu yang didapati membuat kenyataan berkaitan isu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,  Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sambil mengesahkan perkara itu berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menganggu siasatan kes tersebut.

Kes sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian, katanya dalam kenyataan di Bukit Aman hari ini.

Tambah Ramli, PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutamanya melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara.

Terdahulu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan lalu.

Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Rentetan teguran Sultan Selangor itu, Khoo Ham kemudian memohon maaf dan menarik semula kenyataan tersebut.

Namun, tindakannya menerima kecaman rakyat termasuk beberapa NGO Islam yang mendesak tindakan tegas ke atas pemimpin politik itu kerana didakwa bertindak lampau mencampuri hal ehwal agama Islam.- MalaysiaGazette