PUTRAJAYA – Kontraktor pembinaan Kementerian Pengangkutan boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah kerana cuai dalam insiden kren tumbang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kontraktor juga perlu membayar pampasan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) jika terbukti cuai dalam melakukan kerja-kerja pembinaan.
Bagaimanapun kes itu masih dalam siasatan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang melengkapkan kertas siasatan, katanya.
“Saya sudah minta pihak APAD untuk melihat apa bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap kesalahan ini. APAD akan menyiapkan kertas siasatan itu dan akan serahkan kepada pihak peguam negara untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Sebelum ini, lebih 40,000 pengguna perkhidmatan KTMB membabitkan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral-Tanjung Malim-KL Sentral terjejas selepas mengalami gangguan akibat sebuah kren pembinaan projek parkir bertingkat tumbang di Stesen Rawang pada 13 Disember 2023.
Dalam kejadian pukul 5.53 petang itu, kren yang digunakan dalam pembinaan projek parkir tersebut dikatakan mengalami masalah apabila tanah di lokasi kejadian tiba-tiba mendap mengakibatkan jentera tersebut condong ke arah landasan.
Dalam pada itu, Anthony berkata, pihaknya akan menyiasat kontraktor terlibat mengikut Seksyen 128(1)(a) Akta 715.
“Tindakan boleh diambil dengan sengaja atau cuai merosakkan mana-mana keretapi, premis keretapi atau mana-mana harta dipunyai oleh seseorang pengendali berlesen terhadap pihak bertanggungjawab menyebabkan kerosakan kepada landasan keretapi KTMB.
“Sabit kesalahan denda tidak melebihi RM5,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.
Selain APAD, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kesalahan yang dilakukan kontraktor terbabit.
“Sudah tentu pihak CIDB ada juga punca kuasa mereka untuk melibat apakah bentuk kesalahan yang telahpun dilakukan dan mereka juga ada bidang kuasa untuk ambil tindakan,” katanya.
Katanya lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) pula sedang menilai kerosakan dan pampasan yang perlu ditanggung oleh kontraktor.
“Ia menyebabkan kita kena buat kerja pembaikan, kerosakan dan kerugian kepada pihak KTMB, itu akan diambil tindakan susulan. Kita mesti ada satu pengajaran kepada semua pihak, saya berharap perkara seperti ini tidak berlaku sama sekali.
“Jangan pandang remeh isu keselamatan terutamanya kawasan atau zon larangan keretapi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette