Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan kewujudan kartel atau mafia tersebut seperti didakwa menentukan harga, benih padi dan beras di negara ini.

Ini kerana jumlah pengeluaran sebanyak 39,000 pelbagai lesen seperti Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS) jelas menunjukkan tiada kartel atau mafia yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras.

“Industri padi dan beras negara dikawalselia oleh Kawalselia Padi (KPB) dan Beras KPKM melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Melalui akta ini, Kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat dan teratur,” kata KPB dalam satu kenyataan hari ini.

Akta itu juga memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras dalam mengeluarkan lesen dan permit bagi urus niaga padi dan beras meliputi pengilangan, pemborongan, peruncitan, import/eksport dan pemindahan antara negeri.

Kenyataan ini merujuk kepada dakwaan kewujudan kartel atau mafia yang menentukan harga padi, beras dan benih padi.

Bagi BPS pula, KPKM telah memperuntukkan sebanyak 72,000 metrik tan benih padi sah bagi memenuhi keperluan pesawah bagi tahun 2023. Lesen pengilangan benih padi sah ini juga turut diberi kepada syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) bagi membekalkan benih padi kepada pesawah.

Pengesahan BPS melalui ujian makmal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Bagi memastikan semua peruncit menjual benih padi sah mengikut harga yang ditetapkan oleh Kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan BPS, pelaksanaan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) telah diadakan pada 7 hingga 21 November 2023.

Sepanjang tempoh tersebut, KPKM telah menarik balik sebanyak 22 lesen penjualan benih padi sah milik peruncit yang melanggar syarat lesen.

KPKM memberi peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu berkenaan.

Tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen sekiranya
didapati berlaku pelanggaran undang-undang.

Para pesawah dan pengguna dinasihatkan supaya menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi kepada kementerian jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang. – MalaysiaGazette