PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan perlu membuat teguran secara terbuka kepada kontraktor yang terlibat dalam insiden kren tumbang di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Rawang pada 13 Disember 2023.
Menterinya, Anthony Loke Siew berkata, insiden itu melibatkan satu kesalahan yang serius dan ia bukan pertama kali melibatkan landasan keretapi milik KTMB.
“Ini merupakan satu amaran kepada semua kontraktor yang terlibat dengan mana-mana projek pembinaan yang bersebelahan atau berdekatan dengan landasan keretapi.
“Insiden ini bukan kali pertama yang disebabkan oleh projek pembinaan menyebabkan landasan kita terjejas,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.
Sebelum ini, lebih 40,000 pengguna perkhidmatan KTMB membabitkan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral-Tanjung Malim-KL Sentral terjejas selepas mengalami gangguan akibat sebuah kren pembinaan projek parkir bertingkat tumbang di Stesen Rawang, pada 13 Disember 2023.
Dalam kejadian pukul 5.53 petang itu, kren yang digunakan dalam pembinaan projek parkir tersebut dikatakan mengalami masalah apabila tanah di lokasi kejadian tiba-tiba mendap mengakibatkan jentera tersebut condong ke arah landasan.
Selain itu, struktur jejambat landasan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kerosakan menyebabkan tiang landasan berhampiran Stesen Bandaraya retak dan landasan bengkok, awal tahun lalu.
Akibat kerosakan itu, Rapid Rail Sdn Bhd terpaksa menutup laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya sejak 27 Januari lalu. – MalaysiaGazette