REMBAU – McDonald’s Malaysia tetap berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik dan semampunya kepada golongan yang memerlukan melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan walaupun dilanda cabaran besar akibat tindakan boikot.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, sepanjang Oktober lalu, syarikatnya menjalankan majlis hari jadi melibatkan lebih 12,000 anak yatim dari 400 rumah anak yatim di seluruh negara.
“Sepanjang Disember pula, McDonald’s aktif memberi sumbangan berupa makanan dan barangan keperluan harian kepada mangsa banjir di Pantai Timur dengan harapan dapat meringankan beban mereka yang dilanda musibah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pandu lalu restoran McDonald’s di sini hari ini.
Pada majlis yang sama, beliau menyerahkan pembayaran zakat perniagaan McDonald’s Malaysia bagi 2023 berjumlah RM110,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
McDonald’s merupakan salah satu jenama yang berdepan tindakan boikot oleh pihak yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan keganasan rejim Zionis Israel di Gaza mulai Oktober lalu.
Azmir memberitahu, McDonald’s Malaysia menyatakan sokongan kepada mereka yang terjejas di Gaza melalui sumbangan RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Selain itu, kakitangan McDonald’s di seluruh Malaysia turut mengambil inisiatif sendiri mengumpul dana tambahan sebanyak RM100,000 yang disumbangkan kepada MyCARE untuk membantu rakyat Palestin,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 32 restoran McDonald’s yang baharu telah dibuka di seluruh negara tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 370 restoran.
“Di Negeri Sembilan sahaja, terdapat 20 restoran McDonald’s termasuk di Rembau,” katanya. – MalaysiaGazette