Rafizi pada sidang media berkenaan isu PADU di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dibangun dan dikawal selia oleh penjawat awam bagi mengelak risiko kebocoran data yang mungkin dilakukan oleh vendor atau syarikat swasta.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, insiden kebocoran data berlaku disebabkan aplikasi data itu dikendalikan pihak ketiga.

Namun tegas beliau, menerusi PADU, isu dan risiko kebocoran data dapat dielak kerana penjawat awam tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 yang menghalang mereka membocorkan rahsia kerajaan.

“Penjawat awam tertakluk kepada akta itu dan kalau langgar (kebocoran data), ia boleh jadi kes jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.

“Model sebelum ini dengan melantik vendor atau syarikat swasta untuk bangunkan data bersepadu kerajaan tidak lagi relevan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selasa lalu, kerajaan melancarkan PADU iaitu sistem mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia yang menjadi penerajui kepada pengagihan subsidi dan bantuan lebih adil.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, kerajaan kini mampu memberi kemaskini data lebih pantas kerana PADU dikendalikan penjawat awam sendiri.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang pembangunan produk digital adalah satu proses berterusan dan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia terus relevan

“Sebelum ini, kita tidak boleh buat pangkalan data menggunakan satu tingkap (sistem tunggal) namun ia tidak boleh dibuat selagi data itu tidak diintegrasikan dan memerlukan melalui proses oleh kerajaan dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Rafizi memberitahu, setakat pukul 4 petang tadi, seramai 516,168 telah mendafar dalam PADU di mana seramai 261,158 pengguna telah selesai proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

“Kami menyasarkan 500,000 pengguna mengakses PADU setiap hari dengan 200,000 pengguna mendaftar lengkap sehari. Ketika ini, proses pendaftaran PADU berjalan lancar seperti dirancang dan dijangkakan.

“Kami jangka ia akan lebih mencabar minggu kedua namun akan melonjak pada Mac kerana tarikh tutup pada 31 Mac depan,”  katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. padu gila . suruh orang daftar tapi tak buka jalan . masuk padu.gov.my banyak cerita je keluar nak daftar tak boleh . dia ingat bodoh sangat ke rakyat Malaysia ni jingga perlu cerita cara daftar langkah demi langkah tapi bila klik daftar tak bergerak . eror

Comments are closed.