Terminal Sentral Kuantan

KUANTAN – Kemudahan sedia ada dan tahap kebersihan di Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini akan ditambah baik agar pengguna dapat menikmati perkhidmatan yang lebih memuaskan kelak.

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, pihaknya juga telah mengadakan libat urus dengan pihak terbabit agar ia dapat dilaksanakan segera.

“Saya mengadakan perjumpaan dengan pihak swasta dan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk sama-sama mengadakan penambahbaikan dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna.

“Saya juga telah meminta pihak syarikat agar segera mengadakan penambahbaikan seperti menjaga kebersihan dan juga dapat memastikan keselesaan khususnya kepada pengguna di Terminal Sentral Kuantan,” katanya.

Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Beliau berkata demikian kepada Pahang Media selepas meluangkan masa hampir satu jam dalam lawatan mengejut ke TSK semalam.

Selain itu, katanya, perkhidmatan eskalator yang didakwa tidak berfungsi di TSK akan kembali beroperasi dan dibuka kepada pengguna tidak lama lagi.

“Ia akan dapat digunakan pada 20 Januari ini selepas alat ganti tiba dan semoga dapat digunakan sebaiknya oleh pengguna,” katanya.

Tambah Fakhruddin, satu pelan tindakan susulan juga akan dilaksanakan bersama pihak MBK bagi memastikan terminal ini berada di tangga terbaik di negara ini.

Dua hari lalu tular di media sosial berkenaan aduan pengguna terhadap kemudahan yang dikatakan dalam keadaan tidak memuaskan di stesen bas yang baru berusia 10 tahun itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast