Anggota bomba membantu mangsa banjir berpindah ke PPS yang disediakan setelah kawasan kediaman mereka dinaiki air.

JOHOR BAHRU – Bilangan mangsa banjir di Johor bertambah kepada 1,484 orang daripada 385 keluarga di empat daerah pada jam 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata,  mereka ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Daerah terbabit adalah di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang dan Mersing dengan jumlah mangsa banjir tertinggi di Kota Tinggi iaitu 723 orang daripada 180 keluarga di enam PPS diikuti Johor Bahru seramai 420 mangsa daripada 111 keluarga dipindahkan ke empat buah PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, seramai 271 mangsa daripada 71 keluarga ditempatkan di dua PPS di Mersing dan seramai 70 mangsa daripada 23 keluarga) dipindahkan ke  tiga PPS di Kluang..

Sementara itu, Azmi berkata, dua jalan utama juga ditutup di Mersing kerana berisiko dan berbahaya untuk digunakan.

“Ia melibatkan jalan di Kampung Orang Asli Peta dan jalan masuk ke Tenggara Timur-Tanjung Leman yang ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast