Antara warga asing yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Ops Kutip yang dijalankan di sekitar Pusat Bandar Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 268 warga asing dalam Op Kutip yang dijalankan di sekitar Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu hari ini.

Di Kelantan, Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi itu yang turut melibatkan kerjasama pihak polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Perbandaran Kota Bharu, bermula 10 pagi.

Beliau berkata, majoriti yang ditahan ialah warga Myanmar iaitu 122 orang (115 lelaki, 3 wanita dan 4 kanak-kanak).

“Warga asing lain yang turut ditahan ialah Bangladesh (76), Indonesia (15), Thailand (6),  Pakistan (3), India (3), Thailand (6) dan Nepal (13) kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Nik Akhtarulhaq juga menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang tanpa izin atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

“Kesemua warga asing ini akan menjalani proses dokumentasi oleh pihak jabatan untuk tindakan selanjutnya dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara serta bersubahat dalam melindungi pendatang tanpa izin,” katanya.

Di Kuala Terengganu, Pengarah JIM negeri Azhar Abd Hamid berkata pihaknya telah memeriksa 220 warga asing termasuk dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan, Indonesia, India serta Kemboja dan daripada jumlah itu, sebanyak 30 orang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa, tiada dokumen pengenalan diri dan melanggar peraturan pas permit yang dikeluarkan.

“Ada yang datang sejauh 70 kilometer menaiki bas dari Jambu Bongkok ke Kuala Terengganu untuk membeli barangan keperluan asas dan mengambil kesempatan hari cuti untuk bersiar-siar di bandar raya ini.

“Ketika ditahan, ada yang sedang membawa televisyen, kipas dan bahan mentah seperti daging dan ikan,” katanya pada sidang media selepas Op Kutip di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang awam yang tidak selesa dengan kehadiran semakin ramai warga asing di kawasan itu terutama pada hujung minggu dan siasatan mendapati lokasi tersebut dijadikan tempat mereka berkumpul termasuk bagi yang tinggal di luar Kuala Terengganu.

Azhar berkata, semua warga asing terbabit akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut. – Bernama