BUKIT MERTAJAM – “Kami kesal dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) susulan tidak dapat mengusahakan sebuah tangki air statik di Seberang Perai Tengah (SPT) dalam tempoh gangguan bekalan air berjadual bermula 10 Januari ini”.
Demikian luah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Zulkefli Bakar selepas menghadiri taklimat yang diadakan PBAPP bersama wakil rakyat pembangkang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Jelas Zulkefli, wakil PBAPP memberi alasan hanya enam kampung dalam kawasan Penanti bakal terkesan akibat gangguan bekalan air dan jangkaan masalah itu selama 48 jam.
Enam kampung tersebut ialah Pekan Penanti, Kubang Ulu, Kubang Semang, Padang Tembusu, Sungai Semambu dan Tanah Liat.
“Kenapa pengguna dan rakyat di sini tidak diberi kemudahan sama seperti penduduk di kawasan lain?
“Sepatutnya PBAPP sediakan sekurang-kurangnya satu tangki air statik sama seperti di kawasan lain dalam tempoh gangguan bekalan air bukan beri kami nombor telefon koordinator jika berlaku kecemasan,” katanya hari ini.
Dalam perkembangan sama, Zulkefli yang juga Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang turut mempertikaikan sikap PBAPP yang mengasingkan sesi taklimat gangguan bekalan air antara kerajaan dan pembangkang.
“Ini adalah masalah yang dihadapi oleh seluruh penduduk Pulau Pinang tetapi untuk taklimat kaedah penyelesaian dan bantuan diasingkan.
“Semua pengguna yang terkesan adalah pelanggan PBAPP jadi tidak adil jika hak mereka dinafikan dengan mengamalkan sikap pilih bulu,” tegasnya.
Bagaimanapun, Zulkefli turut memaklumkan sekiranya penduduk kawasan Penanti menghadapi kesulitan dalam tempoh gangguan bekalan air, mereka boleh menghubungi Pejabat ADUN Penanti untuk tindakan lanjut di talian 017 – 474 8458.
Media sebelum ini melaporkan 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari ini susulan kerja pembaikan paip segera di LRA Sungai Dua.
Susulan itu, Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama PBAPP menyediakan beberapa unit tangki air jumbo di setiap daerah, sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air tersebut. – MalaysiaGazette