SIMPANG RENGGAM – Kerajaan negeri Johor akan memastikan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir dapat menduduki peperiksaan itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, persediaan itu telah pun dilakukan sejak November tahun lalu dan fenomena tersebut bukannya sesuatu yang baharu kepada beliau.
“Setiap daerah mempunyai cara dan pendekatan mereka mendepani isu tersebut dan tapi insya-Allah saya yakin dengan kebijaksanaan dan kepimpinan pegawai-pegawai daerah di Johor,” katanya selepas menghadiri Program Semarak Subuh Johor di Masjid Al-Mustaqim, Ulu Benut, di sini, hari ini.
Johor memperuntukkan RM560,000 bagi menjayakan 2,688 Program Semarak Subuh Johor di kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.
Menurut Onn Hafiz, program yang dihadiri 200 jemaah itu adalah untuk menggalakkan lebih ramai bangsa Johor yang beragama Islam ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Subuh.
“Kita tidak seharusnya melupakan tanggungjawab kita sebagai umat Islam dalam mengejar kemajuan negeri ini. Sebab itu sebagai pemimpin di Johor, kita laksanakan program menyemarakkan masjid-masjid dan surau kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette