KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap beberapa laporan media membabitkan perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang sedang berlangsung.
Peguam bela yang mengetuai pasukan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beberapa hari lepas terdapat laporan media ‘tidak tepat’ berkaitan anak guamnya yang ditulis berdasarkan kenyataan saksi pendakwaan.
Kata Muhammad Shafee, kebenaran hanya akan terbukti apabila terdapat sesi soal balas dan bukannya sekadar berdasarkan ‘kesimpulan dan pandangan’ oleh saksi yang sedang memberikan keterangan.
“Baru-baru ini beberapa media telah tampil membuat laporan berdasarkan sebuah kenyataan saksi yang telah disediakan terlebih dahulu kemudian dibacakan oleh saksi tersebut tanpa adanya sesi soal balas. Bila baca tiada tapisan langsung.
“Dulu ianya sangat berbeza di mana soal balas dilakukan secara lisan, tanya soalan jawab dan sebagainya. Situasi itu membolehkan kita membuat bantahan. Dalam konteks kini, kenyataan saksi ini telah dibuat awal-awal tetapi belum tentu semuanya betul dan benar kerana kenyataan itu tidak melalui sesi soal balas.
“Ini termasuk kenyataan yang dibuat oleh saksi pegawai penyiasat ini. Pegawai ini bukanlah saksi pakar sebaliknya saksi biasa. Ini kali pertama saya lihat seorang pegawai penyiasat membuat kesimpulan. Kerja IO ialah menyiasat, dapatkan bukti, kumpul dokumen dan sebagainya. Semuanya dengar cakap sahaja.
“Kita dapati ada segelintir media juga telah membuat laporan berdasarkan kenyataan itu, kita akan ambil tindakan hina mahkamah yang mana bukan sahaja laporan tidak betul sebaliknya sudah diserongkan ke arah yang mereka hendak,” katanya kepada media di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Prosiding mahkamah ialah apabila seseorang membuat sesuatu untuk mempengaruhi keputusan mahkamah secara tidak adil ketika perbicaraan sedang berlangsung dan keputusan salah atau sebaliknya belum dibuat.
Saksi ke- 49 prosiding 1MDB, Nur Aida Arifin yang merupakan salah seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Najib telah menggunakan wang berjumlah AS$681 juta (wang rasuah) untuk membeli undi pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Wang itu didakwa telah masuk ke akaun peribadi Ambank Najib melalui syarikat pelaburan, Tanore Finance Corporation melalui Falcon Private Bank Singapore.
Muhammad Shafee yang memetik laporan terbabit berkata, anak guamnya hanya menggunakan wang itu dengan mempercayai dana tersebut datangnya daripada derma Arab Saudi sebelum menggunakan beberapa ratus juta ringgit dan baki sebanyak AS$621 juta daripada AS$681 juta itu telah dipulangkan kembali.
“Jadi bagaimana pula anak guam saya habiskan semua duit itu untuk beli undi seperti yang didakwa? Bukti pemulangan kembali dana itu juga ada.
“Malah dana itu juga telah digunakan untuk perbelanjaan kelangsungan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) selain digunakan untuk melakukan program kebajikan CSR. Tidak ada beli undi seperti didakwa oleh pegawai penyiasat itu.
“Juga dakwaan kononnya anak guam saya telah membuat arahan supaya tidak ada keperluan melakukan audit terhadap beberapa syarikat yang dikaitkan dengan kerajaan. Semua itu tidak benar dan telah dipesongkan melalui pandangan dan kesimpulan. Semua laporan itu prejudis dan tidak berfakta,” ujarnya.
Kata Muhammad Shafee, pihaknya akan memohon prosiding hina mahkamah minggu hadapan terhadap beberapa media yang telah dikenal pasti oleh pihaknya. – MalaysiaGazette