Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 ketika di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2024

KUALA LUMPUR – Pengurusan universiti perlu diberi lebih ruang dan kelonggaran untuk meneliti program yang lebih baik dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan tinggi.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk universiti dalam negara melakukannya.

Ujar beliau, KPT harus berperanan sebagai penyelaras dasar bagi mengelakkan berlakunya pertindihan kuasa dan fungsi.

“Saya cadang saudara Zambry (Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Kadir) beri ruang kepada pimpinan universiti, KPT harus hanya menyelaraskan mengelakkan pertindihan, permasalahan tetapi beri lebih banyak ruang kepada universiti dan cabar mereka dalam dua tahun melihat program yang lebih baik, kalau tidak kita ubah pimpinan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Wacana Strategi Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama Anwar berkata, tenaga pengajar dalam bidang pendidikan tinggi perlu mengutamakan usaha mengangkat martabat dan kualiti generasi muda agar mampu bersaing dengan negara luar.

“Anda semua, pemikir bangsa harus melihat keutamaan mengangkat martabat bangsa, negara dan keutamaan agama.

“Guna ruang untuk perbaiki kelemahan-kelemahan kita, keutamaan adalah mendidik anak-anak kita supaya lima hingga 10 tahun lagi mereka mampu bersaing dengan yakin dengan negara luar,” katanya. 

Tambahnya, tindakan yang lebih tegas dan efektif perlu diambil demi memastikan mutu universiti dalam negara berkembang maju seiring dengan perubahan masa.

“Jadi apa yang saya nak gagaskan selain daripada mengakui bahawa ada keperluan untuk melancarkan suatu tindakan lebih tegas dan berat dengan kepesatan baik universiti-universiti,” tambahnya.

Terdahulu, dianggarkan seramai 500 orang peserta hadir wacana tersebut pada hari ini.

Program berkenaan diadakan untuk menyediakan peluang kepada semua pihak berkepentingan dalam landskap pendidikan tinggi khususnya golongan akademia, pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta serta pihak industri yang memberi sumbangan signifikan terhadap pemerkasaan agenda pendidikan tinggi negara.

Sesi wacana yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini turut memberi peluang kepada semua pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi untuk berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing dengan pucuk pimpinan negara dan kementerian, khususnya untuk merangka strategi dalam mendepani cabaran masa kini dan akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Laaa tak nak komen kaaa tentang kebajikan warga kerja universiti seperti para pensyarah? Mereka ini adalah penjawat awam bertaraf KONTRAK jaaa..kesian sungguh..padahal anak2 murid yg mrk ajar bertaraf tetap. Cthnya pensyarah perubatan di IPT bertaraf kontrak jaaa…tp anak murid mrk yg jd doktor di hospital bertaraf tetap…tak logik sungguh

Comments are closed.