KUANTAN – Seorang lelaki dicekup anggota Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang kelmarin kerana disyaki menggunakan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun itu mengaku telah menggunakan dokumen palsu yang dibelinya pada harga RM3,500 sejak dua tahun lalu.

Pengarah JIM Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, suspek ditahan bersama isteri dan abang iparnya yang juga warga Indonesia menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Jaya Gading, di sini.

“Selain itu, JIM Pahang berjaya menahan 47 orang lagi warga asing di sekitar daerah Kuantan dan Pekan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Tangkapan dibuat hasil pemeriksaan ke atas seramai 65 orang warga asing menerusi serbuan dalam Op Sapu, Op Minyak dan Op Kutip di 10 buah premis berbeza,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, malam tadi.

Menurut Muhammad Hatta, mereka yang ditahan terdiri daripada 18 warga Bangladesh, Indonesia (11) , Myanmar (5) dan Pakistan (3) yang berusia antara 16 ehingga 51 tahun.

Tambah beliau, antara kawasan diserbu membabitkan tapak karnival Fun Fair, stesen minyak, pusat cuci kenderaan, rumah pekerja ladang dan kawasan kediaman bermula 4.20 petang pada 3 Januari dan tamat kira-kira 12 jam kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen/pas yang sah, tinggal lebih masa dan menggunakan pas palsu,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman di Depot Tahanan Imigresen Kemayan selama 14 hari bermula tarikh tangkapan untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast