Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (tengah) dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussain Hafiz Syed Abdul Fasal (kanan) bertemu pengunjung yang membeli barangan murah semasa Program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat di PPR Kerinchi. Foto SYADILA AMARI, 6 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan memberikan jaminan tidak akan menyalahgunakan data yang diperoleh menerusi Pangkalan Data Utama (PADU) untuk tujuan kempen pada Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertindak demikian.

“Saya percaya kalau pun sebelum sebelum ini ada pihak yang menyalahguna, kita tidak berhasrat untuk melakukan perkara yang sama.

“Cara kita berkempen berbeza tidak insya-Allah tidak akan menyalahgunakan ya. Tapi fungsi PADU adalah untuk memberi rakyat peluang,” katanya kepada media selepas menghadiri program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, pagi ini.

Fahmi berkata demikian mengulas gesaan aktivis politik, Shahir Adnan yang menggesa agar data PADU tidak digunakan untuk tujuan politik meraih undi dalam PRU-16 kelak.

PADU menjadi perbualan hangat beberapa individu termasuk bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming yang menggesa kerajaan menangguhkan proses pendaftaran PADU sehingga beberapa beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

Jelas Kian Ming, langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran PADU, termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data sistem itu.

Dalam pada itu, Fahmi turut ditanya mengenai pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), beliau berkata pihaknya sedang fokus untuk membuat penelitian mengenai beberapa fungsi badan tersebut terlebih dahulu.

“Belum lagi (lantik Ketua Pengarah baharu) ia (JCOM) masih dalam proses penelitian beberapa fungsi, saya jangkakan mungkin bulan Februari (dilantik)

“Kalau ada calon pun saya belum bersedia untuk sebut sebab lebih daripada calon kerana kita sedang meneliti fungsi, jadi beri sedikit masa,” katanya.

Jawatan Ketua Pengarah J-KOM kosong Disember lalu selepas Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff meletakkan jawatan selepas dihimpit kontroversi ekoran penularan satu rakaman video perbualan aib antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Mohammad Agus tersebar di media sosial.

Fahmi berkata, penelitian semula fungsi J-KOM perlu bagi memastikan ia berbza dengan pendekatan sebelumnya.

“Saya lihat ada beberapa fungsi yang diperlukan dan itulah antara sebab mengapa kita nak buat penyelarasan dan rombakan itu perlu kerana saya lihat JCOM kena berbeza sedikit daripada apa yang diusahakan sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette