KUALA LUMPUR – Isu ketagihan dadah melalui peranti vape perisa cendawan (mushroom) didakwa tidak dapat ditangani lagi menyebabkan gejala ini sudah semakin teruk.
Lebih memburukkan keadaan apabila bekalan dadah berperisa ini amat mudah didapati, menjadi punca peningkatannya.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ketua Penerangan Sayap Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, beliau amat terkejut apabila mendapat tahu isu itu bukan lagi terpencil sebaliknya sudah menghantui seluruh negara.
Kata Sanjeevan, kampung halamannya di Bahau kini ‘meriah’ dengan penjualan peranti vape mushroom secara terbuka.
“Pada mulanya saya fikir ia hanya di sini (Bahau) kemudian saya dimaklumkan ia sudah berada di pasaran seluruh negara malah menjadi antara pilihan utama dan kegemaran golongan mudah. Rata-rata sudah ketagih.
“Isu ini semakin teruk dari hari ke hari. Malah apabila kebanyakan mereka yang menghisap vape ini ditangkap dan uji air kencing keputusannya negatif. Itu juga antara punca mengapa polis tidak dapat tangkap dan dakwa mereka terlibat dengan dadah.
“Ini juga punca mengapa sindiket yang mempergunakan peranti perisa ini terus melariskan penjualan mereka untuk keuntungan, akhirnya menjadikkan anak-anak muda kita ketagih dadah secara tidak langsung,” katanya hari ini.
Sanjeevan yang juga merupakan bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) memohon kepada pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sindiket yang terlibat dengan penjualan vape berperisa mushroom dan tidak membiarkan golongan itu terus bermaharajalela.
Jelasnya walaupun polis tidak dapat mendakwa mana-mana individu yang air kencingnya negatif di bawah Akta Dadah Berbahaya namun pada masa akan datang mungkin boleh dakwa bawah Akta Racun 1952.
”Harapnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat melakukan pindaan atau ubah undang-undang sedia ada yang jauh lebih longgar.
“Jangan sampai nasi jadi bubur, generasi muda adalah pemangkin kita pada masa hadapan. Jangan biarkan ianya dihancurkan oleh tokan-tokan dadah seperti ini.
“Andainya tidak ada apa-apa tindakan dan biarkan sahaja maka kita akan berdepan dengan musibah jauh lebih teruk pada masa akan datang,” tegasnya.
Sebelum ini, Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia, Raja Azizan Suhaimi pernah mendedahkan salah satu faktor penjualan peranti vape tidak berdaftar mudahkan belia ambil dadah jenis perisa mushroom sehingga menyebabkan ramai anak muda menjadi penagih dadah.
Tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution juga mendedahkan mengenai trend belia berusia 19 hingga 39 tahun yang ditahan pada 2022 positif pelbagai jenis dadah meningkat berbanding tahun sebelumnya. -MalaysiaGazette
Peranti vape perisa mushroom punca semakin ramai belia penagih dadah