KUALA LUMPUR – Seorang guru terkejut apabila emas yang dilaburkan dalam satu skim pelaburan berkonsepkan Islam oleh sebuah koperasi bertindak menggadaikan barangan kemas itu di kedai pajak gadai.
Lebih mengejutkan apabila mangsa cuba menuntut emas itu, dia dimaklumkan emas itu hampir luput dan perlu menggunakan wangnya sendiri untuk mengambil kembali barangan tersebut.
Mahu dikenali sebagai Cikgu Izzah dari Kota Bharu, Kelantan, mangsa mengakui dia cukup terkejut dengan insiden itu kerana pelaburan itu dibuat dengan sebuah koperasi yang mempunyai nama besar, selain berkonsepkan Islam.
“Saya sungguh terkejut, barangan kemas yang saya laburkan itu adalah kepunyaan keluarga saya, hasil titik peluh kami. Bukan senang untuk kami kumpul emas-emas ini.
“Daripada simpan begitu sahaja, apa salahnya kita laburkan dalam pelaburan yang sebenarnya bantu sesama Islam? Tapi akhirnya usaha saya itu makan diri, bila saya tanya kepada koperasi itu, mereka diam sahaja,” katanya dalam sidang media anjuran Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) di sini hari ini.
Kisah Cikgu adalah antara 30 mangsa penipuan sebuah koperasi difahamkan telah menyebabkan kerugian lebih RM2.2 juta.
Difahamkan koperasi itu juga mempunyai keahlian lebih 1,000 dan jangkaan kerugian mangsa yang belum tampil kira-kira lebih RM70 juta.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, setakat ini pihaknya telah menerima aduan 30 orang dan ramai lagi dalam proses untuk tampil dengan penipuan oleh koperasi yang juga menawarkan pelbagai skim pelaburan berkonsepkan Islam bagi menarik orang Melayu.
Kata Hishamuddin, modus operandi koperasi ini ialah memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat-syarikat sendirian berhad yang tidak dimiliki oleh entiti itu.
Jelasnya, syarikat sendirian berhad itu adalah pelaksana 10 jenis projek pelaburan koperasi berkenaan yang dipercayai sebenarnya sebuah skim jenayah penipuan pelaburan terancang dan tidak wujud.
“Pelaburan-pelaburan itu juga mudah dipercayai dan diterima kerana menarik mangsa kononnya dengan menjadi ahli koperasi supaya boleh jana pendapatan sampingan dalam bentuk pelaburan pelbagai nama seperti melabur dalam klinik swasta, kedai runcit dengan jumlah sikit sebelum mula melabur dengan lebih banyak.
“Untuk pengetahuan juga semua pelaburan ini tidak sah namun tidak disedari oleh para pelabur. Undang-undang berkaitan mengawal syarikat pelaburan seperti Akta Skim Kepentingan 2012, Akta Syarikat 2016, Capital Markets and Services Act 2007 juga tidak langsung dipatuhi.
“Penipuan hanya disedari mangsa apabila rata-rata mereka sudah tidak terima bayaran dividen seperti yang dijanjikan oleh pihak syarikat dan kemudian bertindak hilang tanpa cuba memberikan apa-apa maklumbalas kepada para pelabur,” katanya.
Sambung Hishamuddin, kebanyakan pengadu juga sudah membuat pelbagai laporan termasuklah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhajanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) namun tidak ada apa-apa tindakan dan maklum balas.
“Ketika ini banyak pelaburan scam yang kebal undang-undang dan seperti tidak peduli dengan undang-undang, kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa pula bukan sedikit malah saban tahun kita diperdengarkan dengan scam berbilion ringgit.
“Perlu ada tindakan tegas yang boleh menyebabkan sindiket penipuan seperti ini gerun. Buat masa ini kita akan kumpulkan semua maklumat, bukti sebelum membuat beberapa laporan kepada semua pihak berwajib.
“Andai tidak ada perkembangan, kita akan gunakan platform perundangan dengan tindakan saman,” tegasnya. – MalaysiaGazette