KUALA LUMPUR – Langkah Dubai yang kecoh sejak seminggu ini didakwa telah berjaya mengumpulkan 123 akuan sumpah (SD) daripada ahli Parlimen yang mendakwa sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwa blogger, Raja Petra Kamarudin, kumpulan yang didakwa terlibat dengan Langkah Dubai itu juga sudah mencadangkan tiga orang calon perdana menteri baharu untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertua Agong.
Calon yang dicadangkan mereka ialah, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dakwa Raja Petra, beberapa pemimpin politik termasuklah mantan perdana menteri telah hadir ke Dubai sebelum menyerahkan nama-nama A\ahli Parlimen bersama SD kepada YDPA ketika lawatan rasmi ke emiriah Arah Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Malah dakwa Raja Petra, SD Ahli Parlimen termasuklah UMNO, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan.
“Beberapa Ahli Parlimen PN yang sebelum ini tampil menyokong perdana menteri sudah membuat pusingan ‘U’ dan menarik kembali sokongan, daripada lima orang saya difahamkan seramai tiga orang sudah tarik sokongan.
“Jadi angka sebanyak 120 akuan sumpah daripada Ahli Parlimen campur dengan tiga lagi wakil rakyat PN yang tarik sokongan terhadap PN, kini ada 123 akuan sumpah dan semuanya sudah diserahkan kepada YDPA.
“Mungkin minggu depan semua yang tandatangani akuan sumpah ini akan dipanggil oleh baginda,” dakwanya.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam pula tampil menafikan dakwaan Raja Petra Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan.
Kata Lokman, Raja Petra sendiri membuat dakwaan bercanggah berkenaan perkara itu.
“Pada 5 Januari lalu, Raja Petra sendiri membongkarkan calon perdana menteri Langkah Dubai adalah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
“Keesokannya, orang sama pula membongkarkan langkah ini memiliki tiga calon lain iaitu bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula.
“Raja Petra sendiri menipu Raja Petra,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. -MalaysiaGazette