Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Sekretariat Perantau Anak Pahang di WTC pada semalam

KUANTAN – Ukhwah antara ‘Orang Pahang’ tetap terpelihara meskipun berada jauh di  perantauan melalui Sekretariat Perantau Anak Pahang di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang menjadi negeri pertama menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang di bawah kerajaan negeri di negara ini.

Jelasnya, penubuhan sekretariat itu antara  merupakan usaha dan langkah kerajaan negeri untuk mendekati dan menyantuni anak-anak Pahang yang berada di perantauan, agar mereka tidak merasa terpinggir.

Selain itu kebajikan mereka turut dijaga seperti mana rakyat yang berada di negeri Pahang.

“Saya berharap menerusi penubuhan sekretariat ini dapat menjaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan anak-anak Pahang di perantauan akan lebih erat, selain pelbagai program akan dapat dijalankan demi kebaikan bersama,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Wan Rosdy, lebih menggembirakan apabila beliau dapat bertemu dan bermesra dengan anak-anak Pahang di perantauan dalam majlis pelancaran yang menghimpuakan anak Pahang itu.

Terdahulu keputusan  Kerajaan negeri Pahang bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang berpusat di Kuala Lumpur telah  dicapai menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 1 September lalu.

Menurutnya Sekretariat Perantau Anak Pahang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi mengkordinasikan program-program bantuan seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan aktiviti-aktiviti perantau anak Pahang.

Selain menjadi penghubung, sekretariat ini membantu kerajaan negeri membuat perancangan kebajikan dan pembangunan rakyat yang berada di luar negeri Pahang.

Wan Rosdy berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan perantau anak Pahang melalui sekretariat itu diharap akan terjalin dengan lebih erat demi kebaikan bersama.

Berdasarkan rekod seramai 11,251 anak Pahang telah menyambung pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di luar Pahang.

Manakala seramai 96,182 anak Pahang telah merantau dan bekerja di luar Pahang. – MalaysiaGazette