IPOH – Pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki menyeleweng kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM9.62 juta, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (kerana melakukan pecah amanah),” kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Bernama.
Semalam Mohd Yusri mengesahkan suspek lelaki berusia 50 tahun, manakala isterinya berumur 53 tahun yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk, ditahan di Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.35 tengah hari semalam.
Terdahulu pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata polis menyiasat sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh MAIPk, selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga September 2023, yang mana kes itu antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat sepanjang tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM9.71 juta. – BERNAMA