Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Gambar ihsan polis.

KUALA LUMPUR – Seorang warga asing maut selepas melanggar jengkaut di sebuah tapak pembinaan, Petaling Jaya, di sini semalam.

Difahamkan  lelaki berusia 30-an itu merupakan seorang pemandu lori dan sedang melakukan kerja mengambil tanah di Jalan Aeroangkasa 3.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, tragedi itu berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja mengambil tanah di tapak pembinaan berkenaan.

Ketika melakukan kerja-kerja itu, tayar lori dipandunya terbenam dalam selut.

“Rakan sekerjanya datang membantu dengan membawa jengkaut. Ketika proses untuk mengeluarkan tayar, mangsa dikatakan menekan pedal minyak menyebabkan lorinya meluncur ke hadapan dan melanggar jengkaut berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan daripada Hospital Sungai Buloh (HSB),” katanya.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Wan Ahmad Izhanzaki di talian 014-5296880 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette