Sebuah rumah di Felda Chini Timur 3, Pekan yang dinaiki air hari ini.

PEKAN – “Pertama kali dalam sejarah banjir begini”.

Begitu dakwaan penduduk di Felda Chini Timur 3 di sini yang dikejutkan dengan air yang naik mendadak akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Menurut Abdul Razak Mohd Daud, 62, dia sekeluarga tidak melakukan sebarang persediaan menghadapi bencana alam itu kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Air naik mendadak cuma sempat selamatkan peralatan besar-besar sahaja. Selamatkan apa yang patut. Barang-barang hanya sempat naikkan ke tempat tinggi sedikit saja, tak sempat bawa keluar,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Chini Timur 3 di sini hari ini.

Abdul Razak Mohd Daud

Dia yang telah bermastautin di sini sejak 35 tahun lalu sama sekali tidak menyangka kawasan rumahnya dinaiki air dan terpaksa berpindah ke PPS terbabit.

Perasaan sama dikongsi Muhammad Syazwan Mat Suhaimi, 29 yang juga tidak sempat menyelamatkan tiga buah motosikal miliknya kerana tidak menyangka air naik dengan cepat.

“Petang semalam yang air mula naik. Tak pernah lagi berlaku dekat 30 tahun saya duduk di sini. Barang memang semua tak sempat diselamatkan.

“Cuma semasa hujan lebat tu sempat selamatkan kereta sahaja. Motor tenggelam habis,” luahnya.

Muhammad Syazwan berkata, ketika kejadian, isterinya keluar ke bandar Kuantan untuk membeli barangan keperluan dan dia tinggal di rumah itu bersama kedua ibu bapa dan bayinya yang berusia enam bulan.

Namun apabila berlaku hujan lebat sejak petang semalam, laluan keluar masuk ke kawasan gugusan Felda Chini Timur tidak boleh dilalui kenderaan ringan menyebabkan isterinya tidak dapat pulang ke rumah.

Muhammad Syazwan Mat Suhaimi

“Sayalah terpaksa bawa anak umur enam bulan ini dengan emak dan ayah saya mengharung air banjir nak selamatkan diri dulu. Memang pengalaman betul.

“Biasa sebelum ini kalau hujan lebat air naik sikit sahaja di bahagian belakang rumah tapi tak pernah lagi naik lebih lima meter,” katanya.

Jelasnya, ketika banjir terburuk melanda Pahang pada tahun 2014 lalu, kawasan itu tidak terjejas dan kali ini merupakan pengalaman pertama kali dia dan keluarga berdepan situasi panik sebegitu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast