Pihak bomba membantu memindahkan penduduk mangsa banjir di PPS yang disediakan.

JOHOR BAHRU – Bilangan mangsa banjir di Johor meningkat dengan 456 orang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini berbanding 338 orang dipindahkan di tujuh PPS pada jam 10 malam tadi berikutan hujan lebat berterusan sejak awal pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani  berkata, mereka terdiri daripada 125 buah keluarga di empat daerah iaitu Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Segamat.

“Kota Tinggi antara daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 229 mangsa dipindahkan ke tujuh buah PPS, diikuti Mersing dengan seramai 123 mangsa di sebuah PPS.

“Kluang menyaksikan seramai 84 mangsa ditempatkan di sebuah PPS dan Segamat pula merekodkan seramai 20 mangsa di sebuah PPS, setakat pukul 12 ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, banjir di negeri ini tidak merekodkan sebarang kecederaan atau kematian mangsa sehingga kini

“Tiga sungai di negeri ini telah mencapai paras air berbahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang; Sungai Kepala Orang di Kampung Jaya, Kota Tinggi dan Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru,” katanya.

Katanya, ketika  ini dua laluan ditutup sepenuhnya untuk kenderaan iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang dan Jalan Kota Tinggi-Kulai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast