NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran bahawa “kebuluran yang meluas” di Gaza dalam laporan yang dihantar kepada anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Laporan tujuh halaman itu dibuat selepas UNSC menerima pakai resolusi menggesa peningkatan penghantaran bantuan ke Gaza pada 22 Disember.
Guterres berkata, kemasukan 6,099 trak bantuan ke Gaza iaitu 5,197 melalui Rafah dan 902 melalui Lintas Karem Abu Salem adalah tidak mencukupi bagi keperluan lebih 2 juta orang.
“Kelaparan dan dahaga berleluasa – dan kebuluran yang meluas, menurut Program Makanan Sedunia. Lebih setengah juta orang – satu perempat daripada penduduk – menghadapi apa yang diklasifikasikan oleh pakar sebagai tahap kelaparan yang dahsyat,” katanya.
Beliau berkata, konvoi kemanusiaan yang menghantar bantuan menghadapi cabaran besar dari segi risiko tembakan senjata kecil hingga penahanan pekerja bantuan yang melintasi pusat pemeriksaan yang dikawal oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF).
Tegasnya, operasi bantuan yang berkesan memerlukan keselamatan, kakitangan yang boleh bekerja dengan selamat, kapasiti logistik, dan penyambungan semula aktiviti komersial. Ia memerlukan elektrik dan komunikasi yang stabil.
Guntares juga berkata, pertempuran di Gaza terus menghalang usaha berterusan untuk menyediakan penjagaan kesihatan dan bantuan menyelamatkan nyawa kepada orang awam.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa hanya 13 daripada 36 hospital di Gaza masih berfungsi namun tidak sepenuhnya.
Hospital tersebut dibanjiri dengan kes trauma, beroperasi dalam keadaan tidak selamat, dipenuhi dengan puluhan ribu orang yang mencari perlindungan dan kekurangan bekalan perubatan.
“Malapetaka kesihatan awam berkembang pesat di Gaza. Penyakit berjangkit merebak dengan pantas di tempat perlindungan yang sesak.
“Keadaan kebersihan amat buruk, dengan tandas yang sedikit dan dengan banjir kumbahan. Apabila musim sejuk berlangsung, wabak penyakit berjangkit akan meningkat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa Gaza sudah pun mengalami kadar wabak penyakit berjangkit yang meningkat.
“Kanak-kanak, wanita hamil, orang tua dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah adalah paling berisiko,” katanya.
Kebimbangan penyakit bawaan air, seperti taun dan cirit-birit kronik, dipertingkatkan dengan kekurangan air yang selamat.
WHO melaporkan bahawa kes cirit-birit di kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun adalah 25 kali ganda berbanding sebelum pertempuran semasa. Kira-kira 180 wanita Palestin dianggarkan bersalin setiap hari dalam keadaan yang amat sukar ini.
Laporan tersebut disediakan oleh Guntares selepas UNSC meluluskan Resolusi 2712 (2023) dalam konteks kematian dan kemusnahan yang meluas yang dicetuskan oleh konflik di Gaza dan Israel pada 22 Disember lalu. – Agensi