KUANTAN – Banjir di Pahang kembali memburuk dengan jumlah mangsa yang terjejas meningkat ekoran hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Di kawasan Bukit Ibam, Muadzam Shah, sebanyak 10 keluarga dipindahkan daripada kediaman mereka apabila kawasan tersebut dinaiki air pada jam 9 pagi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya terpaksa melakukan operasi pemindahan kesemua mangsa menggunakan bot fiber.
Selain itu, dianggarkan kira-kira 30 keluarga lagi yang menetap di kawasan tersebut akan dipindahkan jika keadaan banjir terus memburuk.
Di Chini, Zulfadli memberitahu, keseluruhan tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka sehingga jam 1 tengah hari di Chini 1, Chini 3 serta Chini Timur 1 dan 3 menempatkan seramai 121 mangsa.
Katanya, PPS Chini 1 kini menempatkan 32 individu daripada 4 keluarga, PPS Chini 3 menempatkan 25 individu daripada 4 keluarga dan 64 individu daripada 15 keluarga pula di PPS Chini Timur 1 dan Chini Timur 3.
Jabatan Metrologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk (lebat) sehingga hari ini di Pekan dan Rompin manakala amaran hujan berterusan tahap waspada bagi kawasan di Kuantan.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang memaklumkan paras air di tiga sungai di daerah Rompin dan Pekan telah melepasi paras bahaya dan menunjukkan trend menaik sehingga jam 11.30 pagi tadi.
Aras air Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan mencatat bacaan 18.64m, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia catat bacaan 12.63m dan Sungai Rompin di Jambatan Kuantan-Segamat pula mencatat bacaan 10.67m. – MalaysiaGazette