KUALA SELANGOR – Seorang pekerja asing terjun ke dalam sungai bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa kerana terlibat dengan aktiviti bot pukat tunda haram.

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, terdapat nelayan melarikan diri bagi mengelakkan bot diperiksa pihak penguatkuasa dalam operasi di Bagan Pasir, Tanjong Karang, di sini, semalam.

“Terdapat juga dua bot pukat tunda haram yang telah dikenal pasti dengan segera menghidupkan enjin lalu melarikan bot.

“Melalui pemeriksaan jeti-jeti, dua bot telah disyaki mengusahakan bot tunda haram disita Jabatan Perikanan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ops Periksa Jabatan Perikanan itu membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) Gerak Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor.

Beberapa anggota penguatkuasa Jabatan Perikatan sedang memeriksa sebuah bot yang disyaki terlibat dengan aktiviti pukat tunda haram di Bagan Pasir, Tanjong Karang, Kuala Selangor.

Beliau berkata, hasil risikan dan pemantauan mendapati, pukat tunda haram itu menggunakan bot Zon A yang telah uzur, tidak lagi digunakan oleh pemilik asal dan dijual ke pemilik baharu.

“Bot pukat tunda haram ini atau dikenali bot combat dipercayai beroperasi menunda pukat tunda di bawah 5 batu nautika dan menggunakan pukat tunda serta tali tunda yang berukuran pendek.

“Hal ini memudahkan mereka menaikkan semula peralatan pukat tunda ke atas bot dan melarikan diri.

“Modus operandi mereka ini adalah untuk mengelak daripada ditangkap oleh pihak pengusaha sewaktu mereka menjalankan operasi,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa memiliki lesen vesel yang sah.

“Saya menyeru nelayan tidak melakukan aktiviti yang melanggar peraturan dan kesannya akan memusnahkan sumber perikanan.

“Ia juga menjejaskan keterjaminan makanan yang sepatutnya dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast