Seorang anggota Maritim menunjukkan bot yang digunakan warga Myanmar untuk menangkap ikan di perairan Sungai Besar, semalam. Gambar: Ihsan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima warga Myanmar, termasuk seorang remaja, kerana disyaki menangkap ikan di kawasan perairan Sungai Besar, dekat Pelabuhan Klang, semalam.

Kesemua mereka ditahan pasukan peronda yang menjalankan Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0 pada kedudukan kira-kira 11 batu nautika barat daya Sungai Besar, pukul 9.45 pagi.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua warga Myanmar itu gagal mengemukakan permit kerja yang sah atau sebarang dokumen kebenaran bekerja di atas bot.

“Bot nelayan itu dikendalikan lima individu berusia lingkungan 16 hingga 46 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, menerusi soal siasat, suspek dibayar gaji bulanan sebanyak RM1,000 dengan komisyen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.

Berdasarkan pemeriksaan, turut ditemukan kira-kira 300 kilogram ikan campur di atas bot.

“Kesemua kru, bot dan hasil perikanan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette