Dua ekor lembu yang diikat nyaris dicuri di Mempaga. Gambar : Polis Daerah Raub

KUANTAN – Tiga lelaki ditahan polis selepas gagal melarikan diri daripada dikejar sekumpulan penternak lembu pada jam 3 pagi kelmarin di Raub.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd shahril Abdul Rahman berkata, satu laporan diterima pihaknya pada jam 7.48 hari yang sama.

Beliau berkata, pengadu menerima panggilan daripada seorang rakannya yang juga merupakan seorang penternak lembu meminta dia ke Jalan Utama Mempaga Lebu di tapak Pasar Malam Mempaga pada jam 4 pagi.

“Pengadu kemudian bergegas ke lokasi terbabit dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira telah terbabas di tepi jalan. Rakannya itu pula meminta agar dia memeriksa dua ekor lembu yang berada dalam kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas memeriksa dua lembu yang diikat di bahagian belakang kereta terbabit, pengadu kemudian mengesahkan haiwan itu adalah miliknya.

Jelas Mohd Shahril, pengadu mengenalpasti lembu-lembu itu yang dipercayai dicuri daripada ladangnya di Ladang Krau 4 berdasarkan tanda-tanda yang terdapat di telinga lembu tersebut.

“Hasil siasatan mendapati beberapa individu dalam kalangan penternak lembu telah membuat rondaan rutin menjaga ternakan mereka di Ladang Sawit Krau sekitar jam 3 pagi hari yang sama.

‘Semasa membuat rondaan, mereka terserempak dengan sebuah kereta Wira Aeroback itu di tepi jalan dan dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Setelah menghampiri kereta tersebut, katanya, secara tiba-tiba ia memecut laju menghala ke Jalan Utama Mempaga-Lebu menyebabkan kumpulan penternak lembu itu mengejarnya.

Bagaimanapun, kereta itu terbabas dan empat lelaki berumur lingkungan 23 tahun hingga 31 tahun berjaya ditahan polis.

Mohd shahril berkata, tiga daripada suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bagi siasatan lanjut, manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Temerloh untuk menerima rawatan.

Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan seorang lagi suspek positif dadah Amfetamin.

Ketiga-tiga suspek direman sehingga 9 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette