Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

KUALA LUMPUR – Polis masih meneruskan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak akan menghentikan siasatan walaupun tiada sebarang perkembangan.

“Polis masih menjalankan siasatan, kita tidak pernah menghentikan (siasatan). Jika ada perkembangan baharu yang boleh dikongsikan kita akan kongsi, setakat ini tiada perkembangan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia di Bukit Aman hari ini.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berkaitan berkaitan semakan pangkalan data berhubung beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan setakat ini.

Bagaimanapun, menurutnya, maklum balas berkenaan hanya berkaitan maklumat umum berkaitan kes berkenaan.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lepas di Damansara Damai di sini sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Bagaimanapun, siasatan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh selepas menemui kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.

Pada 23 Disember lalu, media melaporkan, polis meminta bantuan Interpol dalam semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan setakat ini.

Hussein turut dilaporkan berkata, fokus siasatan polis kini adalah untuk mengesan prime crime scene atau tempat kejadian jenayah pertama di mana lokasi sebenar Zayn Rayyan dibunuh.

Setakat ini, pihak polis merakam keterangan seramai 225 individu selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik individu. – MalaysiaGazette