Gambar hiasan

KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus bertambah sehingga 1,075 orang dengan pertambahan satu lagi daerah yang terjejas iaitu Maran.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Maran sehingga pagi tadi yang menempatkan 440 mangsa banjir.

Ini menjadikan jumlah PPS dibuka di tiga daerah terjejas akibat banjir sejak dua hari lalu bertambah kepada 24 buah dengan menempatkan 286 keluarga.

“Di Rompin, 403 mangsa terjejas daripada 124 keluarga ditempatkan di tujuh PPS, sama seperti di Pekan, 232 mangsa daripada 61 keluarga kini berteduh di tujuh PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di tiga buah sungai berada di paras amaran iaitu sungai di stesen Lubuk Paku yang menunjukkan trend menurun, sungai di stesen Kuala Chini yang menunjukkan trend menaik dan sungai di stesen Paloh Inai yang menunjukkan trend menurun.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan ramalan ribut petir di enam daerah di Pahang hari ini iaitu Bentong, Jerantut, Lipis, Cameron Highlands dan Temerloh sementara hujan di Bera, Kuantan, Maran, Pekan dan Rompin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast