CHICAGO – McDonald’s mengakui menyaksikan kesan ketara terhadap perniagaannya selepas pelanggan di Timur Tengah dan di tempat laon memboikot produknya ekoran sokongan firma itu terhadap Israel.
Dalam mesej di LinkedIn, Ketua Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinski menyalahkan situasi itu sebagai “salah maklumat”.
Selain McDonald’s, Starbucks juga telah terjejas.
“Beberapa pasaran di Timur Tengah dan beberapa di luar rantau ini mengalami kesan perniagaan yang ketara akibat perang dan maklumat salah hingga menjejaskan jenama seperti McDonald’s.
“Ini mengecewakan dan tidak berasas.
“Di setiap negara tempat kami beroperasi, termasuk di negara Islam, McDonald’s dengan bangganya diwakili oleh pengendali pemilik tempatan,” tulis Kempczinski.
McDonald’s mengendalikan lebih daripada 40,000 kedainya di seluruh dunia dan kira-kira 5% terletak di Timur Tengah.
Sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, ibu pejabat korporat McDonald’s cuba untuk low profile berhubung konflik itu.
Tetapi jenamanya masih terperangkap dalam krisis tersebut.
Dalam beberapa minggu selepas serangan itu, McDonald’s Israel berkata ia telah memberikan beribu-ribu makanan percuma kepada anggota tentera Israel.
Tindakan itu mencetuskan gesaan akar umbi untuk memboikot jenama itu oleh mereka yang marah dengan tindak balas tentera Israel di Gaza, mendorong pemilik di negara majoriti Islam seperti Kuwait, Malaysia dan Pakistan mengeluarkan kenyataan.
Kempczinski membuat kenyataan ini susulan tindakan boikot semakin memuncak sejak kebelakangan ini.
Dalam mesejnya, Kempczinski berkata: “Kami membenci apa-apa jenis keganasan dan tegas menentang ucapan kebencian, dan kami akan sentiasa berbangga membuka pintu kami kepada semua orang”. – Agensi