GEORGE TOWN – Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang meninggal dunia akibat serangan jantung hari ini.
Mendiang Inspektor R. Kunes Raw, 35, rebah di dalam tandas IPK selepas menyertai Majlis Bacaan Ikrar Dadah dan Rasuah anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri di IPK pagi tadi.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.
Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan insiden berkenaan dan menyifatkan mendiang merupakan pegawai yang berdedikasi serta rajin dalam melaksanakan tugas.
“Kehilangan mendiang Kunes satu kehilangan buat Polis Pulau Pinang dan dalam masa sama kita juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau,” katanya.
Terdahulu, Kok Chin bersama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais menziarahi keluarga mendiang di Hospital Pulau Pinang.
Ia juga merupakan lawatan kebajikan sebagai tanda keprihatinan PDRM terhadap pegawai polis selain memberi sokongan moral kepada keluarga serta memastikan aspek kebajikan terus terpelihara.
Mendiang meninggalkan balu serta dua orang anak perempuan.
Sementara itu, akaun Facebook PDRM Pulau Pinang dipenuhi ucapan takziah kepada keluarga mendiang. – MalaysiaGazette