Mangsa yang dikenali sebagai Syed Hashim Syd Hassan ditemui pada pukul 10.35 pagi tadi berhampiran tempat dia memasang jaring ikan di Jalan Estet Kampung Belenggu, Temerloh.

KUANTAN – Seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang disyaki hilang di Kampung Belenggu, Temerloh dekat sini sejak petang semalam telah ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas.

Mangsa, Syed Hashim Syd Hassan, 63, ditemui pada pukul 10.35 pagi tadi berhampiran tempatnya memasang jaring ikan di Jalan Estet Kampung Belenggu.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan mangsa oleh anaknya pukul 9 malam semalam.

“Pengadu membuat laporan memaklumkan bapanya tidak pulang ke rumah sehingga pukul 7.30 malam. Pengadu diberitahu ibunya yang ayahnya itu keluar melihat jaring ikan namun tidak diketahui lokasi yang dituju mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, pengadu telah dihubungi jirannya kira-kira pukul 8.30 malam selepas menemui motosikal bapanya tetapi mangsa tidak kelihatan.

Ketika itu hari sudah gelap dan kawasan itu telah dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Mazlan berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dimulakan pada 9.30 pagi tadi oleh 10 anggota serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 16 anggota termasuk pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mayat bapa kepada empat anak itu berjaya dijumpai sejam kemudian dan dibawa ke Hospital Temerloh bagi tujuan bedah siasat.

Mazlan menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam musim banjir, mengawasi keselamatan ahli keluarga masing-masing serta patuh kepada arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast