KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana memainkan persepsi kerajaan pusat akan tumbang dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tidak menyangka seorang yang berstatus menteri besar sanggup bermain dengan persepsi.
“Apakah kenyataan seperti ini bertanggungjawab sedangkan kepimpinan PN (Perikatan Nasional) pun menafikan ada sebarang gerakan seumpama itu?
“Apakah MB Kedah mahu mensabotaj ekonomi negara yang hari ini sudah melalui fasa pemulihan selepas mendapat keyakinan dan kepercayaan pelabur bahawa politik tanah air sudah stabil?
“Apakah MB Kedah mahu membiarkan rakyat terus menderita selama bertahun-tahun selepas kejatuhan BN (Barisan Nasional) 2018 sehingga menyebabkan ekonomi merudum teruk hingga kos sara hidup meningkat lantaran pelabur yang keluar akibat politik tidak stabil?” soal Asyraf Wajdi.
Menurutnya, dakwaan Muhammad Sanusi kononnya PN sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan hanyalah mainan persepsi.
Ini kerana Yang Dipertuan Agong sudah berkali-kali menitahkan baginda tidak akan melayani sebarang persembahan SD untuk menukar kerajaan.
Tambahan pembangkang hanya tinggal 69 ahli Parlimen dan memerlukan sokongan 43 lagi untuk mencukupkan majoriti mudah 112.
“GPS terutamanya Ahli-Ahli Parlimen bukan Islam sudah menyatakan dengan tegas tidak akan menyokong PN kerana dalamnya ada parti ekstrim Pas.
“Ahli-ahli Parlimen BN pula terikat dengan kontrak RM100 juta bon yang harus dibayar jika beralih sokongan. Peluang terakhir untuk menukar kerajaan adalah hanya melalui usul itdak percaya di Parlimen,” kata Asyraf Wajdi.
Bagaimanapun, katanya, kalau ada ahli-ahli Parlimen yang menanda-tangani SD bermakna mereka sendiri takut untuk menzahirkan sokongan terbuka.
Oleh kerana itu, pembangkang tidak berani mencadangkan usul tidak percaya walaupun Perdana Menteri telah berkali-kali mencabar mereka melakukannya.
Justeru Asyraf Wajdi menggesa supaya polemik SD ditamatkan kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Muhammad Sanusi sebelum ini mendakwa PN sudah mempunyai SD yang mencukui dan hanya tunggu hari sahaja untuk melaksanakan pertukaran kerajaan .- MalaysiaGazette
Asyraf Wajdi ni gemuruh atau berilusinasi? Dah tahu YDP tidak menerima SD dan UMNO akan denda RM100 juta pada MP mereka maka janganlah teramat takut perkara itu berlaku. Zahid pernah berkata-kata bahawa ALLAH telah MENETAPKAN kerajaan hari ini dan bukannya kepada PN dan PAS. Asyraf perlu lebih beriman…. yakin pada ALLAH dan Qodanya.