KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada kepimpinan MCA dan DAP untuk menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan pendapat merupakan perkara yang lumrah dan pernah berlaku antara MCA dan Gerakan dahulu.
“MCA dan DAP biarlah mereka selesaikan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Koordinasi Bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Felda di Menara Felda di sini, hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas tentang perkembangan terkini yang menyaksikan pemimpin-pemimpin MCA termasuk Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membidas kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mendakwa MCA sebagai ‘agak sesat’.
Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata demikian seperti dilaporkan sebuah akhbar kelmarin bagi mengulas mengenai kritikan yang disuarakan oleh para pemimpin MCA terhadap beberapa dasar Kerajaan Perpaduan.
Namun, Ka Siong dalam kenyataan pada hari yang sama menegaskan, MCA tidak akan menjadi ‘pak turut’ semata-mata dalam isu melibatkan kepentingan rakyat dan terus menegur Kerajaan Perpaduan secara konstruktif.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu memberitahu, kritikannya berhubung isu aplikasi MyJPJ, kos tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak, masalah bekalan telur ayam, caj kod QR DuitNow dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari adalah semata-mata kerana rakyat.
Sementara itu, berhubung dakwaan pihak tertentu kononnya sejumlah Ahli Parlimen BN menandatangani akuan bersumpah (SD) tidak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid berkata, SD tersebut adalah tidak sah.
“Jadi tak timbullah isu ambil tindakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
Tiada dihormati?
Tidak akan diturutkan?
Tidak lagi dipedulikan?
Tidak ada kuasa penentu?
itulah pertanyaan ahli UMNO kepada Zahid Hamidi yang menyerahkan “urus malapetaka sendiri” dan tidak membantu menyebelahi party components BN seperti mana tanggungjawab president president sebelumnya?