Askar Israel di Gaza.

TEL AVIV – Tentera penceroboh Israel mendakwa mengetahui kedudukan pemimpin kanan Hamas, Yahya Sinwar di Gaza.

Ketua Perisikan Tentera Israel Amos Yadlin berkata, pihaknya tidak melakukan serangan kerana lokasi Sinwar turut menjadi tempat tahanan tebusan Israel yang masih hidup.

Naib Presiden Yayasan Pertahanan Demokrasi di Washington, DC, Jonathan Schanzer dalam X memberitahu, dia telah mendengar laporan serupa daripada “orang yang berpengetahuan” selama berminggu-minggu.

“Laporan yang keluar dari Israel sejak dua hari lepas menggemakan apa yang saya dengar selama beberapa minggu iaitu, orang Israel mempunyai idea di mana Yahya Sinwar bersembunyi.

“Andaian saya, walaupun tidak disahkan, adalah bahawa dia berada dalam terowong di bawah Khan Younis.

“Tetapi apa yang saya dengar secara khusus ialah dia telah mengepung dirinya dengan tebusan Israel. Dia menggunakan mereka sebagai perisai manusia,” katanya kepada The Times of Israel..

Angkatan Pertahanan Israel kerap mendakwa berjaya menghampiri Sinwar tetapi Ketua Pejuang Palestin itu masih belum dapat ditangkap walaupun tentera zionis telah menjalankan operasi besar-besaran selama hampir 90 hari.

Pada Disember lalu Sinwar mengeluarkan mesej awam pertamanya sejak 7 Oktober, mendakwa kumpulan penjuang itu sedang dalam perjalanan untuk menghancurkan IDF.

Sinwar bertegas Hamas tidak akan tunduk kepada “syarat tentera penjajah”.

Sinwar sebelum ini mendakwa  Briged Qassam, sayap tentera Hamas, telah mensasarkan lebih 5,000 askar dan pegawai Israel, dan membunuh kira-kira sepertiga daripada mereka – iaitu, lebih 1,500.

Israel mengisytiharkan pemimpin Hamas itu sebagai “mayat hidup” berikutan kejayaan Hamas menceroboh wilayah Israel dan menculik lebih 200 orang.

Dipercayai seramai 132 tebusan yang diculik oleh Hamas pada 7 Oktober kekal di Gaza.

Empat tebusan telah dibebaskan sebelum itu, dan seorang diselamatkan oleh tentera.

Mayat lapan tebusan telah ditemui dan tiga tebusan telah tersilap dibunuh oleh tentera.

IDF telah mengesahkan kematian 23 daripada mereka yang masih ditahan oleh Hamas, memetik risikan dan penemuan baharu yang diperoleh oleh tentera yang beroperasi di Gaza.

Lebih 240 tebusan telah dilarikan pada 7 Oktober lalu apabila pejuang Hamas menceroboh sempadan dan mengamuk merentasi komuniti selatan.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast