KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini membenarkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi utama perbicaraan kes rasuah projek jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.
Ini bermakna sebahagian dokumen pernyataan saksi bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli perlu diserahkan kepada pasukan pembelaan.
Pernyataan saksi dipohon oleh Guan Eng bagi membolehkan pihaknya mengkaji jika wujud percanggahan kenyataan Zarul Ahmad yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes ahli perniagaan, G Gnanaraja, di Mahkamah Shah Alam dengan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan bekas Menteri Kewangan itu selepas berpuas hati dengan alasan dikemukakan pasukan pembelaan.
Sejurus selepas itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon masa selama dua minggu untuk menyerahkan dokumen tersebut.
Difahamkan 31 muka surat daripada 108 muka surat pernyataan saksi itu relevan dengan kes akan diserahkan kepada pembelaan bagi memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi tersebut.
Dalam pada itu, pasukan pembelaan juga memohon masa untuk meneliti dan membuat kajian bagi prosiding mencabar kredibiliti saksi memandangkan peguam utama, Gobind Singh Deo tidak mewakili Guan Eng berikutan pelantikannya sebagai Menteri Digital pada akhir tahun lepas.
Azura kemudian mengarahkan dokumen berkenaan diserahkan kepada pasukan pembelaan sebelum sebutan kes pada 17 Januari ini dan prosiding mencabar kredibiliti saksi ditetapkan pada 26 Februari.
Isu kredbiliti saksi timbul apabila pasukan pembelaan mendapati keterangan Zarul Ahmad berubah berhubung pemberian wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disalurkan melalui Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.
Gobind ketika berhujah ketika itu memberi bayangan bahawa Zarul Ahmad menipu kerana pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu oleh saksi-saksi lain bahawa penyerahan hanya melibatkan wang RM2 juta, bukan RM4 juta.
Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. -MalaysiaGazette