KOTA TINGGI – Situasi banjir di Kota Tinggi tidak banyak berubah kerana kebanyakan kawasan masih ditenggelami air.
Tinjauan Malaysia Gazette di sekitar daerah yang terjejas banjir mendapati paras air di bandar berkenaan semakin meningkat berbanding petang semalam selepas paras air di tembok berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Hwa yang menjadi penanda aras menunjukkan kenaikan.
Deretan kedai di Jalan Kolam air sekitar Taman Medan Indah, dekat sini masih ditutup susulan banjir.
Manakala premis pasar raya dan restoran juga tidak beroperasi ditutup.
Difahamkan paras air di kawasan deretan bandar ini sekarang sedalam satu hingga 1.5 meter.
Paras itu bersamaan tenggelam separuh tingkat satu.
Jalan-jalan yang terlibat ialah Jalan Indah, Jalan Jaafar, Jalan Niaga Utama, Jalan Johor dekat Arked Mara, Taman Kota Mas dan Jalan Tambatan.
Sekolah Agama Bandar dan Sekolah Kebangsaan Bandar turut dinaiki air.
Stesen minyak di bandar ini juga ditelenggami banjir sepenuhnya hingga ke paras bumbung.
Situasi ini menyebabkan tiada kenderaan keluar masuk di bandar ini kecuali bot-bot pasukan keselamatan.
Ketua Zon Dua, JBPM Johor Penguasa Bomba Rasidi Md Yunus berkata, paras air naik disebabkan hujan berterusan sejak jam 1 pagi tadi dan baru sahaja berhenti lebih kurang 1 tengah hari tadi.
Hujan berterusan itu mengakibatkan limpahan air dari beberapa sungai masuk ke beberapa batang jalan di bandar ini dan juga ke kawasan penempatan penduduk.
Wartawan MalaysiaGazette yang berada di lokasi mendapati, meskipun air naik namun ada penduduk yang kembali ke kediaman masing-masing untuk mendapatkan dokumen penting.
Sementara itu, mangsa banjir di Kota Tinggi naik kepada 4,652 orang pada jam 9 malam tadi, berbanding 4,397 mangsa pada 4 petang semalam.
Mereka daripada 1,257 keluarga yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) daerah itu.- MalaysiaGazette