Sistem padu dibangunkan oleh penjawat awam. Foto WAN NABIL NASIR, 02 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menolak dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Accio Technologies Dr. Cher Han Lau bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dibangunkan secara bersama dengan syarikat tersebut.

Rafizi mempertahankan bahawa PADU dibangunkan secara sepenuhnya oleh kakitangan kerajaan tanpa penglibatan swasta.

“Saya mengambil maklum siaran sosial media oleh stesen radio BFM89.9 mengenai Dr. Cher Han Lau, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Accio Technologies, yang mendakwa bahawa syarikat beliau terlibat dengan proses pembangunan PADU.

“Setelah semakan dilakukan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), saya boleh mengesahkan dakwaan oleh Dr. Cher adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rafizi, pasukan analitik PADU menjemput Dr. Cher hanya bagi kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia dalam sains data.

Ini kerana Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Accio Technologies itu mempunyai keupayaan dalam pembangunan data raya dan machine learning.

“Proses pembangunan PADU, pengumpulan atau pembersihan data PADU tidak melibatkan beliau ataupun sesiapa daripada syarikat beliau.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga,” kata Rafizi.

PADU telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu di Putrajaya.

Sistem itu bertujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran, sekali gus memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain menerusi penyasaran subsidi berkesan.

Rafizi sebelum ini telah beberapa kali menengaskan sistem itu dibangunkan sepenuhnya melalui kepakaran dalaman melibatkan kekitangan awam.

Ia melibatkan Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.-MalaysiaGazette