Lee Kok Sing diiringi pegawai SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan melibatkan tuntutan palsu.

KUANTAN – Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan melakukan tuntutan palsu berjumlah RM31,068 dalam penukaran alat ganti kenderaan pada tahun 2021.

Bagaimanapun, tertuduh Lee Kok Sing, 49, tidak mengaku bersalah dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 11 Oktober 2021, tertuduh dengan niat memperdaya Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dengan mengemukakan invois palsu berkaitan penukaran alat ganti sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.

Invois terbabit berjumlah RM11,154 mengandungi pernyataan palsu empat alat ganti T30 Solenoid Switch untuk kereta Nissan X-Trail itu, sedangkan penggantiannya tidak dilakukan ke atas kenderaan terbabit.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 15 Disember 2021 tertuduh didakwa dengan niat sekali lagi memperdaya prinsipalnya iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan, SUK Pahang dengan mengemukakan satu dokumen iaitu invois bagi kenderaan sama berjumlah RM19, 914.

Kali ini, invois itu mengandungi pernyataan palsu tentang alat ganti Nissan X-Trail T30 Tension Chain, Nissan X-Trail T30 Timing Chain, Nissan X-Trail T30 Camshalf Oil Seal  dan Nissan X-Trail T30 Timing Shoe, yang kesemuanya buatan Jepun, sedangkan penggantian alatan tersebut tidak dilakukan ke atas kenderaan berkenaan.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, bapa kepada dua anak itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 diberikan kepada tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali ke Pejabat SPRM Kuantan sehingga kes selesai selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Elvin Tan memohon agar wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh yang merupakan bapa tunggal perlu menyara dua anak berusia 15 dan 19 tahun.

“Tertuduh tidak akan berisiko untuk melarikan diri kerana anaknya bersekolah di Kuantan dan mempunyaj perniagaan di sini. Dia juga telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang dua tahun siasatan kes berjalan,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Kuantan.

Hakim turut menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast