Ridhuan Tee Abdullah
Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Cadangan agar sebuah pusat pelacuran diwujudkan di negara ini bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing disifatkan sebagai ‘penyelesaian bodoh dari orang bodoh’.

Pendakwah Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, cadangan tersebut amat bodoh dan bukan satu penyelesaian terhadap jenayah terbabit sekaligus mengesyorkan individu yang memberi cadangan tersebut supaya belajar dan menambah lebih banyak ilmu.

“Percayalah, setiap agama (bangsa) sudah ada jalan penyelesaian masing-masing. Galilah dan koreklah jalan penyelesaian mereka. Jangan pakai cakap sahaja sehingga nampak kebodohan diri.

“Saya yakin, jika cadangan ini diterima, yang ramai jadi pelacur nanti, adalah anak-anak kita, bukan dari kalangan pekerja asing ini. Ini belum termasuk lagi masalah penyakit yang akan ditimbulkan seperti HIV AIDS dan sebagainya.

“Pendek kata, orang yang bercakap ini, cara berfikir dia amat pendek. Tidak layak diikuti, meskipun datang daripada orang yang berpengaruh. Bertaubatlah,” kata Mohd. Ridhuan.

Beliau mempersoalkan sama ada individu berkenaan mahu Kuala Lumpur menjadi seperti Hatyai yang terkenal sebagai pusat maksiat dan pelacuran.

Mohd. Ridhuan berkata, ada segelintir masyarakat negara ini yang pergi ke wilayah Thailand itu untuk melanggan pelacur.

“Ya, saya tidak nafikan begitu ramai, orang Malaysia ramai melancong ke Hatyai. Tapi, kita kena ingat, sedar atau tidak, sebahagiannya pergi ke sana, bertujuan melanggan pelacur.

“Adakah kita mahu katakan bahawa, orang Malaysia yang pergi melanggan pelacur di sana, nafsunya tidak terlayan di sini, sehingga perlu pergi ke Hatyai untuk melanggan pelacur? Ini hujah bodoh. Orang sebegini memang wujud dalam masyarakat. Sebab itu kita perlu didik mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pelakon dan usahawan Datuk Rosyam Nor berkata, pusat pelacuran perlu di negara ini bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing.

Rosyam yang berkata demikian menerusi podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel menyifatkan ia perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri masing-masing di negara mereka.

Menurut Rosyam, kekangan itu akan menjurus kepada perlakuan jenayah seperti rogol dan sebagainya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast